Bulan Ke-4 Kehamilan
Minggu ke-13, kepala bayi membesar dengan lebih cepat daripada yang lain-lain. Badannya juga semakin membesar untuk mengejar tumbesaran kepala. Berat bayi kita kini boleh mencecah kira-kira 30g. Kuku kaki dan tangan juga mula tumbuh. Pada masa ini bakal ibu mungkin akan mengalami perubahan ketara akibat perubahan hormon yang berlaku dalam badan. Sebagai contoh rembesan minyak menyebabkan wajah kita berbintik-bintik. Kita perlu banyak meminum air suam/masak serta membersihkan muka sekurang-kurangnya 2-3 kali sehari.
Masuk minggu ke-14 degupan jantung bayi akan semakin kuat dan kita sudah boleh mendengarnya melalui ujian imbasan. Lajunya adalah 2 kali ganda kelajuan jantung kita. Pada masa ini bayi kelihatan kurus kerana belum terdapat lapisan lemak. Kulitnya juga sangat nipis sehingga kita dapat melihat saluran darahnya. Pada tahap ini juga biasanya ibu hamil akan mengalami masalah sembelit kerana pergerakan usus cenderung diperlahankan semasa hamil. Jadi elakkan daripada memakai pakaian yang ketat atau sendat agar bakal ibu berada dalam keadaan yang selesa.
Minggu seterusnya iaitu minggu ke-15, bayi kita sudah mampu menggenggam tangannya dan menghisap ibu jari. Kelopak matanya masih tertutup dan akan terus kekal sedemikian sehingga minggu ke-26. Walaupun begitu bayi boleh mengetahui perubahan cahaya ketika ini. Bayi kita juga sudah boleh menelan. Bakal ibu akan merasa perubahan ketara kerana garis pinggang kita akan mengembang dan jantung mula berdegup 20% lebih pantas kerana isipadu darah mengalir dalam badan telah meningkat.
Jadi banyakkan senaman ringkas atau juga boleh melakukan aktiviti berenang untuk meringankan simptom kehamilan dan menyediakan stamina manjadi lebih kuat ketika proses kelahiran kelak.
Minggu ke-16. Kehamilan kini sudah hampir 4 bulan. Pada masa ini badan kita perlu senantiasa sihat dan bertenaga. Bayi kita telah terbentuk sepenuhnya dan perlu diberikan nutrien yang secukupnya oleh plasenta. Bayi kita mula menerima nutrien dari plasenta sejak minggu ke-14. Kini bayi dalam kandungan telah mempunyai tulang yang kuat dan dia juga sudah boleh mendengar bunyi-bunyian untuk pertama kali.
Bulan Ke-5 Kehamilan
Minggu ke-17, rambut, kening, bulu mata bayi kita mulai tumbuh sementara garis kulit pada hujung jari juga mula terbentuk. Antarakeajaiban Allah s.w.t pada saat ini ialah bayi kita telah mempunyaicap carinya yang tersendiri. Walaupun pada masa ini panjang bayi hanya kira-kira 16 cm sahaja iaitu seperti sebatang pen. Bakal ibu mungkin akan alami sembelit akibat sistem usus yang perlahan. Rahim kita pula akan semakin membesar dan menekan pundi kencing. Jadi amalkan pada minggu ini, meminum lebih banyak air masak dan memakan makanan berserat, jus buah-buahan serta sayur-sayuran hijau.
Kini kita menyorot pula perkembangan pada minggu ke-18. Walaupun matanya masih lagi tertutup, bayi dalam kandungan kita sudah dapat mengenalpasti cahaya terang menerusi dinding rahim. Bayi kita dapat mendengar degupan jantung kita pada masa ini. Bayi dalam kandungan juga telah mula berbaring pada lelemak yang boleh memanaskan badannya.
Pengaliran oestrogen dan progesterone semakin meningkat dalam badan semasa kehamilan masuk minggu ke-18 ini. Ia bertujuan untuk melembutkan serta membesarkan serviks untuk proses bersalin. Kesan yang sama pada selaput mukus dihidung juga berlaku yang boleh menyebabkan berdarah.
Seterusnya kita mengikuti perkembangan minggu ke-19. Bayi akan mula mengeluarkan bahan berwarna putih yang tebal dan berkrim untuk menyelaputi keseluruh tubuhnya. Ia dikenali sebagai verniks dan berfungsi untuk melindungi kulitnya daripada cecair amniotik yang mengelilinginya. Jadi apabila bayi kita lahir kelak bayi kita tidak akan kelihatan seperti tidak mandi selama sembilan bulan. Sesetengah ibu akan berlaku kesan stretchmarks atau tanda calar pada bahagian perut. Hampir 90% wanita akan mengalaminya.
Minggu ke-20. Pertumbuhan bayi dalam kandungan puan saat ini adalah agak perlahan kerana memberi peluang kepada paru-paru dan sistem penghadaman serta imunnya untuk matang. Saiz bayi ketika ini ialah kira-kira 25 cm panjang dan mempunyai berat dalam lingkungan 340 g.
Pigmentasi pada kulit kita mungkin berlaku dengan lebih ketara tetapi ianya akan hilang selepas bersalin nanti. Payu dara kita juga saat ini sedang menghasilkan kolostrum iaitu sejenis bahan cecair keruh (warnanya) yang berfungsi untuk membekalkan semua bahan yang diperlukan oleh bayi kita pada hari pertama selepas lahir. Jangan cuba memicit cecair itu.
Selain itu bakal ibu juga akan sering mengalami masalah gusi berdarah dan peningkatan keluaran cecair dari faraj. Sendi dan ligamen-ligamen badan juga akan menjadi kendur. Kita akan lebih kerap merasa sakit pada bahagian belakang badan serta ketegangan dibahagian lain.
Bulan Ke-6 Kehamilan
Pada minggu ke-21, kita akan mengalami banyak perubahan sementara bayi dalam kandungan pula membesar dengan perlahan. Jadi penjagaan kesihatan agar senantiasa sihat dan bertenaga amat penting. Kita perlu elakkan daripada melakukan kerja-kerja berat yang boleh membebankan bahagian belakang. Malah kita perlu mengelakkan dari memakai kasut bertumit tinggi.
Seterusnya minggu ke-22. Struktur gigi bayi kita mula berkembang. Pergerakan bayi kita juga menjadi semakin aktif. Bakal ibu sebaiknya-baiknya memberikan tindakbalas dengan setiap gerakan, tendangan atau bunyi dalam uterus tersebut. Pada masa ini puan sudah boleh perdengarkannya dengan alunan zikir dan ayat-ayat suci Al-Quran untuk memberikan pendedahan dan didikan awal sejak dalam kandungan lagi. Dekatkan perakam atau pemain cakera padat dekat dengan perut puan. InsyaAllah bayi kita yang bakal lahir akan menjadi anak-anak yang pintar lagi soleh. Belailah gerakan bayi anda dengan penuh kasih sayang.
Kini kita di minggu ke-23. Pada masa ini tangan dan kaki bayi telah terbentuk dengan baik. Jari-jemarinya juga terbentuk dengan baik. Perubahan yang berlaku pada bakal ibu untuk minggu ini amat baik. Antaranya ialah rambut, tekstur kulit, kuku da warna kulit. Rambut kita akan menjadi lebat dan berkilauan. Kulit pula akan menjadi bertambah gebu, licin dan lembut.
Pada minggu ke-24 pula, bakal ibu akan merasa gembira, sihat dan berpuas hati dengan perjalanan kehamilan puan. Kita akan dapati berat badan kita bertambah secara normal. Perlu kita ketahui bahawa pada minggu ini kedudukan kepala bayi lazimnya berada pada bahagian bawah. Manakala kulit bayi akan menjadi semakin menebal. Namun jangan terkejut sekiranya bakal ibu dapati muka menjadi sembap dan membengkak pada ketika ini. Ini kerana tubuh sudah mula menyimpan air yang berlebihan.
Fenomena yang sering berlaku pada minggu ke-25 dan minggu ke-26 ialah badan kita akan senantiasa berpeluh dan berasa panas. Bagi menghilangkan rasa panas tersebut, minumlah banyak air. Untuk mengelakkan dehidrasi semasa bekerja terutama ketika berada dalam penghawa dingin (aircond), basahkan tuala kecil dan lapkan pada bahagian muka, leher, dada, peha dan perut. Pakailah pakaian yang longgar untuk keselesaan. Pada minggu ini saiz bayi kita sudah mencapai 33 cm.
Wah..sewaktu ini,tentu perut bakal ibu semue dah membesar kan..pakaian pun harus ditukar kepada yang longgar2 sahaja tau! Ikuti seterusnye bulan2 kehamilan yang terakhir.
No comments:
Post a Comment